Translate

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

PAKEJ MEMANCING DILAUT CINA SELATAN

Thursday, November 12, 2009

GARIS PANDUAN SEKOLAH HADAPI BANJIR


KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan Pengetua sekolah sudah dimaklumkan mengenai persediaan menghadapi banjir mengikut garis panduan Operasi Payung semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula Rabu ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata langkah-langkah persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir telah dibuat oleh semua pihak yang terlibat bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan dengan lancar mengikut jadual.

"Pihak Lembaga Peperiksaan telah memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri tentang kemungkinan berlakunya ancaman banjir semasa peperiksaan bagi bantuan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata sekolah-sekolah yang berisiko tinggi menghadapi banjir perlu menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang lebih selamat termasuk mengenalpasti calon yang mungkin diancam banjir bagi memudahkan sebarang bentuk bantuan seperti tempat tinggal, makanan dan keperluan asas dapat disalur atau disediakan dengan segera.

Beliau turut mengingatkan semua calon SPM supaya sentiasa merujuk Jadual Waktu Peperiksaan bagi mengetahui butiran mengenai masa, peringatan kepada calon, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa menduduki peperiksaan.

"Mereka juga dikehendaki membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM 2009 masing-masing pada setiap masa mereka berada di bilik atau dewan peperiksaan bagi menjamin pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar," katanya.

Lembaga Peperiksaan juga mengingatkan semua calon yang akan menduduki peperiksaan supaya bersedia dan membuat persiapan awal untuk menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau menyebabkan mereka tergendala untuk sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual.

Alimuddin berkata calon diminta sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan.

Beliau berkata Lembaga Peperiksaan juga telah mengeluarkan pekeliling berkaitan Garis Panduan Menghadapi Wabak Penyakit yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan kepada semua sekolah.

"Garis panduan ini menghendaki pelajar dan keluarga mengikut perkembangan wabak penyakit dan peka kepada maklumat terkini terutama dari Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Beliau juga meminta ibu bapa atau penjaga menasihatkan anak-anak agar mengikut panduan penjagaan kesihatan dan mengamalkan langkah pencegahan untuk mengelakkan virus H1N1 termasuk memaklumkan kepada pihak terbabit jika ada tanda-tanda dijangkiti.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan SPM yang beroperasi di Lembaga Peperiksaan yang dibuka mulai Selasa hingga 16 Dis iaitu dari 7 pagi hingga 7 malam di talian 03-88893601, 03-88893809, 03-88893582, 03-88893520, 03-88893551 dan 03-88843030 atau melalui faksimili 03-88893010, 03-88895561 dan 03-88893445.

Seramai 465,853 calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini di 3,569 pusat peperiksaan dengan 23,864 petugas disediakan untuk mengendalikan peperiksaan itu sehingga 16 Dis ini.

Jumlah calon kementerian adalah seramai 406,420, calon persendirian pula 32,561, calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera 7,071, Sekolah Agama Negeri 8,765 manakala Sekolah Agama Rakyat dan sekolah swasta 11,036 orang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment